Senarai Tempat Menarik di Terengganu

Terengganu merupakan negeri yang kaya dengan khazanah hutan, pantai dan pulau yang sangat menarik. Terengganu juga cukup popular dengan tempat makan yang sedap dan makanan yang menarik dan best seperti hidangan nasi dagang, keropok lekor, sata, otak-otak, pais, telur penyu, sate ikan dan ikan celup tepung. Jom kita tengok senarai tempat menarik di Terengganu mengikut 7 daerah masing-masing di bawah.

Semoga membantu anda bercuti ke destinasi menarik di Negeri Sang Penyu ini kelak.

senarai tempat menarik di terengganu

Tempat Menarik di Daerah Kuala Terengganu

>>Cari Hotel TERBAIK di Terengganu<<

  • Artikel Menarik: 6 Destinasi Makan di KT Pilihan Jalan Jalan Cari Makan TV3

Kuala Terengganu merupakan daerah yang paling maju dan di sinilah terletaknya ibu negeri Terengganu iaitu Bandar Kuala Terengganu atau lebih sinonim disebut Bandar KT. Bandaraya Terengganu juga dikenali sebagai Bandaraya Warisan Pesisir Pantai.

Mempunyai beberapa tarikan pelancongan di sekitar Bandar KT dan makanan yang terkenal di sini ialah keropok lekor di Kampung Losong dan Ikan Celup Tepung di Pantai Mengabang Telipot dan Pantai Teluk Ketapang.

Pantai Batu Buruk – Pantai rekreasi yang paling pular di Kuala Terengganu yang terletak di dalam bandar. Destinasi ini sering menjadi tempat bersantai petang-petang untuk bermain layang-layang, menunggang kuda, naik kereta kuda, membawa anak-anak ke taman permainan dan makan-makan.

Pantai Teluk Ketapang / Pantai Airport – Pantai yang terletak di Seberang Takir kira-kira 30 minit memandu dari bandar Kuala Terengganu. Destinasi ini popular kerana lokasinya yang hanya bersebelahan dengan airport dan juga popular dengan Ikan Celup Tepung. Tidak jauh dari pantai ini terletak beberapa tempat yang boleh dilawati seperti membeli keropok lekor BTB atau ke Restoran Air Buah Gelas Besar.

Muzium Negeri Terengganu – Muzium utama negeri Terengganu yang terletak di Kampung Losong dan terkenal kerana reka bentuknya yang unik dan diperakui sebagai muzium yang terbesar di Asia Tenggara. Di sini pengunjung boleh melihat dengan lebih dekat artifak ikonik negeri Terengganu iaitu Batu Bersurat.

Pasar Kedai Payang – Bagi mereka yang ingin mencari sutera dan batik Terengganu, destinasi ini merupakan yang paling popular. Pasar basah dan kering ini merupakan tempat membeli belah di Terengganu yang wajib dikunjungi sekiranya ingin lebih mengenali budaya perniagaan di sini.

Taman Tamadun Islam – Satu tempat menarik di Kuala Terengganu yang cukup popular kerana di sinilah terletaknya 21 monumen replika bangunan terkenal di dunia yang mempunyai senibina yang asli seperti yang asal. Antara yang menjadi tumpuan ialah replika Masjidil Haram, Masjid Nabawi, Taj Mahal, Kota Islam Lama Aleppo, Kubak As Sakhrah dan sebagainya.

Masjid Kristal – Masjid yang dibina dengan kos RM 23 juta yang sangat cantik dan hanya terletak bersebelahan dengan Taman Tamadun Islam. Masjid ini kelihatan terapung di atas Sungai Terengganu dan pemandangan ketika River Cruise memang sangat menakjubkan.

Masjid Tengku Tengah Zaharah (Masjid Terapung) – Kalau sebut sahaja pasal Masjid Terapung, sudah tentu di sinilah destinasi yang perlu dilawati yang terletak di Kuala Ibai. Jaraknya hanya kira-kira 10 minit memandu dari bandar KT.

Dataran Shahbandar – Tempat ini lebih kepada taman rekreasi dan sesuai kalau nak releks-releks sahaja. Terletak betul-betul di tepi Sungai Terengganu dan berhadapan dengan Istana Maziah. Di sini jugalah terletaknya jeti bot ke Pulau Redang.

Taman Awam Lagun Kuala Ibai – Taman rekreasi yang sebesar 3 padang bola di tepi lagun yang sangat redup dan cantik. Terletak berhadapan dengan Masjid Tengku Tengah Zaharah dan sesuai untuk datang ke sini waktu petang untuk ambil angin pantai.

Pulau Warisan ( I-City Terengganu) – Terletak di Kampung Cina, destinasi ini lebih kepada tempat bersantai dan lepak-lepak di waktu petang atau di waktu malam. Setiap kali Monsoon Cup, di sini merupakan lokasi yang menarik untuk menonton acara tahunan ini.

Tempat Menarik di Daerah Marang

Daerah Marang hanya berjiran dengan Daerah Kuala Terengganu. Dan di sini terletaknya destinasi pelancongan yang popular iaitu Pulau Kapas. Kalau musim bercandat sotong, Pulau Kapas sering menjadi tumpuan warga negeri dan orang luar.

Pantai Kelulut – Pantai ini lebih kepada pantai rekreasi dan popular kerana di sini terletaknya deretan medan makan yang menyajikan masakan panas dan seafood. Setiap kali musim perayaan, area medan makan ini sering menjadi R&R pemandu untuk makan malam.

Pulau Kapas – Pulau yang popular di Terengganu untuk bercuti samaada untuk honeymoon atau bersama keluarga. Di sini terdapat penginapan yang sesuai untuk pelancong dan juga mempunyai perairan yang jernih untuk aktiviti snorkeling dan scuba diving. Pulau Kapak juga merupakan destinasi popular untuk mereka yang suka candat sotong.

Pulau Gemia – Pulau Persendirian yang terletak bersebelahan dengan Pulau Kapas dan sesuai untuk mereka yang inginkan percutian di pulau yang lebih privasi.

Pantai Pandak ( Pantai Chendering) – Pantai yang terletak tidak jauh dari Kuala Terengganu dan merupakan satu-satu pantai yang boleh dikatakan selamat untuk mandi dan bermain air pantai berbanding dengan pantai-pentai lain di Kuala Terengganu.

Tempat Menarik di Daerah Dungun

Daerah Dungun mempunya banyak pantai yang cantik dan pulau-pulau yang sangat menarik untuk dilawati ketika musim bercuti. Menjadi tumpuan pelancong untuk menyelam, snorkeling dan juga candat sotong. Daerah Dungun cukup popular dengan Rantau Abang kerana mejadi tumpuan pendaratan penyu untuk bertelur.

Pulau Tenggol – Pulau percutian yang indah dengan hidupan marin dan terumbu karang yang terletak di dalam Daerah Dungun dan sesuai untuk aktiviti scuba diving dan snorkeling. Perjalanan dari jeti di Kuala Dungun ke Pulau Tenggol mengambil masa kira-kira 50 minit dan di sini terdapat beberapa penginapan seperti Tenggol Aqua Resort dan Tenggol Coral Beach Resort.

Rantau Abang – Kawasan ini lebih popular kerana penyu dan di sini terletaknya sebuah pusat santuari penyu yang boleh dikunjungi oleh pelancong.

Pantai Rekreasi Teluk Bidara – Pantai rekreasi yang popular di Dungun dan terletak tidak jauh dari Pantai Tanjung Jara. Sesuai untuk datang waktu petang atau pagi untuk jogging atau releks ambil angin di pondok-pondok di sepanjang pantai di sini.

Pantai Teluk Lipat – Pantai yang terletak di bandar Dungun dan popular dengan gerai-gerai makan petang seperti ikan celup tepung dan juga restoran yang menyediakan masakan panas yang sedap-sedap.

Pantai Teluk Gadong – Pantai yang bersebelahan dengan Pantai Teluk Lipat dan juga merupakan pantai rekreasi yang cantik dan sesuai untuk aktiviti riadah petang-petang.

Tanjung Jara – Pantai peranginan yang lapang dan sesuai untuk bercuti di sini ketika honeymoon. Di sini juga terdapat sebuah resort yang eksklusif sesuai untuk mereka yang lebih pentingkan kepuasan.

Pantai Paka – Pantai yang terletak berhampiran dengan kawasan perindustrian petroleum. Di sini terletaknya beberapa deretan gerai yang popular di kalangan warga setempat untuk lepak petang untuk makan ikan celup tepung, mee sup, mee kari dan pelbagai makanan santai sambil menikmati keindahan Laut China Selatan.

Air Terjun Chemerong – Sebuah lokasi air terjun yang agak pedalaman dan sesuai untuk mereka yang ingin merasai air terjun yang dalam dan boleh berenang. Di sini juga terdapat kemudahan yang lengkap untuk pengunjung seperti tandas, surau dan tapak perkhemahan.

Bukit Bauk – Sebuah bukit di Dungun yang popular pada hujung minggu dan petang untuk aktiviti berjogging.

Tasik Puteri – Merupakan sebuah tasik rekreasi dan dahulunya merupakan kawasan pelombongan bijih timah. Sesuai untuk datang melihat keindahan tasik buatan manusia ini yang terletak kira-kira 30 km dari Bandar Dungun.

Hutan Simpan Pasir Raja – Hutan simpan yang popular dengan sebatang pokok cengal yang dikatakan yang terbesar dan berusian lebih 1300 tahun.

Tempat Menarik di Daerah Kemaman

Kemaman boleh dikatakan daerah yang kedua paling membangun dan sektor petroleum di sini merupakan sumber ekonomi utama daerah bahkan untuk negeri Terengganu. Bandar utama di Daerah Kemaman ialah Bandar Chukai dantarikan utama di sini lebih kepada pantai, tempat rekreasi dan makanan menarik seperti sata, otak-otak dan pais.

Pantai Kemasik – Pantai rekreasi yang terletak berdekatan dengan Mukim Kertih dan di sini sesuai untuk aktiviti lepak tepi pantai dan bersiar-siar. Pantai kecil ini terletak bersebelahan dengan sebuah lagun air yang cantik pemandangannya di waktu pagi.

Pantai Teluk Mak Nik – Destinasi pantai santai di Kemaman yang terletak tidak jauh dari beberapa tarikan popular di sini seperti tempat menjual keropok lekor dan sata. Pesisiran pantai yang redup dan sesuai untuk berkelah ambil angin pantai sahaja.

Kawasan Rekreasi Telaga Simpul – Sebuah tempat lepak tepi sungai yang sangat unik dan sangat redup. Di sini terdapat warung-warung kedai yang menyediakan makanan santai orang Terengganu dan sesuai untuk beriadah bersama keluarga.

Pantai Kuala Kerteh – Pantai yang terletak di muara Sungai Kertih dan sangat mendamaikan dengan keindahan pantai yang sesuai untuk jogging dan di sini juga terdapat deretan kedai makan petang dan juga terdapat medan ikan bakar yang menyajikan makanan seafood yang fresh.

Pantai Rekreasi Teluk Kalong –  Pantai rekreasi tepi pantai yang sesuai untuk bersiar-siar dan berjogging. Pemandangan Laut China Selatan dan deretan bot serta kapal yang berlabuh di Kemaman Supply Base menjadikan ianya satu panorama yang bersubjek yang unik.

Zoo Kemaman – Satu-satunya zoo di negeri Terengganu yang terletak kira-kira 20 minit perjalanan dari Bandar Chukai.

Tempat Menarik di Daerah Setiu

Daerah Setiu terletak ke utara dari Bandar Kuala Terengganu. Dan Daerah Setiulah terletaknya Pulau yang paling popular di Terengganu iaitu Pulau Redang. Pulau Redang boleh dikatakan antara yang paling kaya dengankhazanah hidupan laut dan marin yang cantik di Terengganu setara dengan populariti Pulau Perhentian di daerah jirannya iaitu Besut.

Pantai Penarik & Rhu Sepuluh – Pantai yang terletak di tepi Jalan Pantai menuju ke Kelantan dan di sini pemandangan pantainya sangat cantik dan membiru. Lokasi Pantai Penarik ini juga terkenal dengan beberapa tempat makan ikan celup tepung yang popular.

Lata Chakah – Sebuah sungai yang terkenal di Setiu untuk aktiviti perkelahan dan mandi manda. Di sini terdapata batuan sungai dan aliran sungai yang dingin dan masih terjaga keindahan alam semulajadinya.

Lata Payung – Sebuah destinasi perkelahan air terjun yang sangat cantik di Setiu. Kemudahan asas untuk pengunjung seperti tapak perkhemahan dan pondok turut disediakan.

Pulau Redang – Destinasi percutian pulau peranginan di Terengganu yang sangat popular di kalangan para kaki penyelam dan snorkeling. Di sini menempatkan hidupan marin dan terumbu karanga yang sangat cantik dan terdapat pilihan resort penginapan yang banyak.

Pulau Lang Tengah – Tempat menarik di Terengganu yang mereka inginkan ketenangan dan tidak sibuk dengan orang. Pulau ini juga kaya dengan hidupan marin dan terumbu karang yang menarik.

Pulau Bidong – Pulau ini masih belum membangun dari segi sektor pelancongan dan penginapan walaupun dikelilingi dengan perairan yang cantik. Pelancong kebiasaanya menyelam di sekitarnya dengan menaiki bot persendirian atau yang disewa.

Tempat Menarik di Daerah Besut

Tempat menarik di Besut pula lebih menjurus kepada khazanah hutan, pantai dan pulau yang menarik, sama juga seperti di Daerah Setiu. Bandar utama untuk Daerah Besut ialah Bandar Jertih dan di sinilah terletaknya Pulau Perhentian yang menjadi tarikan utama pelancongan untuk negeri Terengganu.

Pantai Bukit Keluang – Sebuah pantai perkelahan yang sangat popular dan unik struktur pantainya kerana mempunyai gua. Pengunjung boleh ke sini untuk mandi manda kerana permukaan pantainya yang landai dan selamat. Di sini juga terdapat penginapan chalet untuk mereka yang nak bermalam.

Gunung Tebu – Gunung yang popular di kalangan para pendaki dan mempunyai denai dan trek yang dibina khas untuk memudahkan pendaki menuju ke puncak. Gunung Tebu merupakan puncak yang tertinggi di negeri Terengganu dan dari puncak gunung pendaki boleh menikmati panorama Laut China Selatan dan juga gugusan pulau-pulau seperti Pulau Redang, Perhentian Kecil dan Perhentian Besar.

Kolam Air Panas La – Juga dikenali dengan La Hot Spring destinasi ini merupakan kolam air panas semulajadi yang popular di Terengganu yang terletak kira-kira 40 minit perjalanan dari bandar utama di Jertih.

Lata Belatan – Merupakan kawasan perkelahan mandi manda yang juga merupakan pintu masuk nak ke puncak Gunung Tebu.

Lata Tembakah – Kawasan perkelahan mandi manda air sungai yang terletak di Kampung Bukit Payong, Besut dan kira-kira 30 km dari bandar utama Jertih.

Pulau Rhu – Pulau kecil yang terletak tidak jauh dair Pantai Bukit Keluang dan pengunjung boleh ke sini dengan menaiki bot di Jeti Kuala Besut.

Pantai Air Tawar – Pantai rekreasi tepi pantai yang sesuai untuk mereka yang nak bersantai dan ambil angin pantai.

Pulau Perhentian – Pulau yang terbahagi kepada dua iaitu Pulau Perhentian Kecil dan Pulau Perhentian Besar dan memang sangat popular di kalangan kaki scuba diving. Hidupan marin di perairan pedalaman dikatakan antara yang tercantik di Dunia.

Tempat Menarik di Daerah Hulu Terengganu

>>Cari Hotel TERBAIK di Terengganu<<

Paling kaya dengan tarikan sumber alam semulajadi seperti hutan simpan dan tasik buatan yang terbesar di Semenanjung Malaysia iaitu Tasik Kenyir. Tasik Kenyir sering mejadi pilihan warga setempat untuk memancing ikan-ikan darat dan sungai.

Hutan Lipur & Air Terjun Sekayu – Destinasi perkelahan air terjun yang terkenal di kalangan warga Kuala Terengganu dan Marang. Destinasi mudah diakses dengan kereta dan mempunyai prasarana yang lengkap untuk pengunjung.

Tasik Kenyir – Tasik buatan manusia yang terbesar di Malaysia dan di sini menawarkan pelbagai tarikan alam semulajadi seperti memancing atas rumah bot, jungle trekking dan sebagainya.

Kenyir Water Park – Tempat menarik di Terengganu yang terbaru yang baru dilancarkan pada Mei 2015. Taman tema ini terletak di tengah tasik dan pengunjung perlu menaiki bot untuk ke water park ini.

Belukar Bukit – Merupakan kawasan perkelahan air terjun yang terletak tidak jauh dari Air Terjun Sekayu. Kawasan mandi di sini lebih lapang dan tidak berbatu dan sesuai untuk berkelah bersama keluarga.

Kalau anda nak bercuti dan melancong ke Malaysia dan ingin mencari tempat menarik seperti pulau, kawasan peranginan, air terjun dan pantai yang cantik, Terengganu semestinya satu tempat yang perlu anda kaji. Semoga senarai tempat menarik di Terengganu mengikut 7 daerah ini memberi anda seribu inspirasi untuk bercuti di masa hadapan.